Asal sejarah Paun_(jisim)

Rencana utama: Unit Inggeris

Paun sebagai nama untuk unit jisim (atau berat, sebelum jisim dan berat dibezakan) mempunyai sebuah sejarah yang panjang yang amat berkait dengan sejarah sistem-sistem unit jisim yang berkenaan serta penggunaannya.

Perkataan "paun" berasal daripada perkataan Latin, pendere, yang membawa pengertian, "menimbang". Perkataan libra bermaksud “penimbang, neraca" serta juga unit jisim Rom yang serupa dengan paun. Inilah asalnya singkatan “lb” or "" untuk paun.

Di United Kingdom, terdapat hubungan sejarah antara paun sebagai unit jisim, dan paun sebagai unit mata wang (paun sterling) kerana unit mata wang pada zaman silam ditakrifkan sebagai berat logam perak.

Paun troy

Paun troy dinamai sempena nama Troyes, nama pekan pasar Perancis, yang merupakan pekan perdagangan saudagar Inggeris, sekurang-kurangnya sejak zaman Charlemagne lagi (awal abad ke-9). Paun ini merupakan paun yang tertua di England dan hanya digunakan untuk emas, perak, bahan farmaseutik, dan roti, menurut banyak sumber sezaman. [2]

Sebelum diubah pada zaman pemerintahan Henry VIII dari England, paun avoirdupois berdasarkan piawai tersendiri yang diukur sebagai kira-kira 7,002 grain troy. Semasa pemerintahan Henry VIII, paun avoirdupois ditakrifkan semula sebagai 7,000 grain troy dan sejak dari masa itu, grain sering dianggap sebagai sebahagian sistem avoirdupois.

Paun avoirdupois

Paun avoirdupois direka oleh para saudagar London pada tahun 1303. Istilah "avoirdupois" berasal daripada perkataan aveir de peis yang membawa pengertian "barangan yang berat" yang dijual secara pukal dan ditimbang melalui dacing dan neraca yang besar. [2]

Di United Kingdom, paun avoirdupois ditetapkan sebagai salah satu unit jisim oleh Akta Timbang dan Ukur 1878, tetapi mempunyai nilai sebanyak 0.453592338 kg yang hanya sedikit berbeza (berhubung dengan kilogram) dengan nilai terkini. Kuantiti ini merupakan kuantiti terukur, dengan artifak terasingnya masih bertindak sebagai piawai untuk paun ini. Nilai lama ini kekadang dipanggil sebagai paun imperial, dengan takrif dan istilahnya kini menjadi kuno, kecuali apabila merujuk kepada takrif tahun 1878 yang berbeza sedikit.

Di Amerika Syarikat, paun (avoirdupois) sebagai unit jisim telah ditakrifkan secara rasmi dari segi kilogram sejak tahun 1893 lagi. Pada tahun tersebut, hubungan ini telah ditetapkan sebagai 2.20462 paun untuk 1 kilogram dan menyusul penentuan paun British pada tahun 1894, hubungan itu ditetapkan pula sebagai 2.20462234 paun untuk 1 kilogram. Paun antarabangsa yang terkini berbeza dengan paun tahun 1894 Amerika Syarikat sebanyak lebih kurang satu persepuluh juta. [3]